MUHAMMAD SAIF AMMAR.

Insan istimewa ini dilahirkan pada 12 November 2013 tanpa sebarang komplikasi di Alor Star, Kedah. Ammar merupakan kelahiran pertama buat kami dan juga merupakan cucu sulung buat kedua-dua belah keluarga kami lantas Ammar mewah dengan kasih sayang dan perhatian. Ammar sempurna di mata kami dan raut wajahnya yang begitu tenang untuk ditatap.

Ammar membesar normal pada pandangan mata kasar kami , seperti anak-anak kecil lain tetapi pada usia 18 bulan, Ammar gagal dalam saringan kesihatan M-Chat. Bermula daripada itu, Ammar dikategorikan sebagai Speech Delay dengan TRO Autism.  Begitu juga dengan saringan seterusnya, Ammar masih gagal memenuhi spesifikasi anak normal. Pada usia 3 tahun, Ammar telah dirujuk ke unit FMS daerah dan seterusnya ke Unit Paediatrik. Bermula juga rutin terapi buat Ammar di klinik kesihatan dan juga di hospital.

Pada awalnya, begitu kami menolak takdir dan ketentuan ilahi. Mana mungkin anak kami istimewa sebegini. Ya , kami melalui fasa denial yang sebenarnya akan memberikan sedikit sebanyak impak pada Ammar. Hampir setahun kami ‘pujuk’ hati sendiri bahawa anak kami lewat sedikit perkembangannya. Maklumlah perkembangan anak-anak semuanya tidak sama. Kami lengahkan segala terapi dan temujanji yang ada. Walaupun pada ketika itu, Ammar sangat sukar untuk diuruskan terutamanya dengan keadaannya yang speech delay dan juga masalah tidur yang agak teruk. Rutin tidurnya sangat tidak menentu, kadang kala Ammar tidur pada jam 3 atau 4 pagi dan bangun seawal jam 7 pagi tanpa sebarang lelah bahkan masih bertenaga. Emosi kami sebagai ibu bapa sangat terganggu kerana tidak cukup tidur. Kualiti hidup makin merosot dan sampai satu ketika kami berasa terlalu ‘hopeless’. Pernah juga hadir rasa malu untuk ke sana sini kerana perihal Ammar yang ‘tidak diam seminit’ kata orang. Bila mana bertandang ke rumah orang, habis diterokanya seluruh pelusuk rumah orang. Apabila dipamerkan pula  habit ‘stimming’ lagi panjang ceritanya.

Allah bukakan jalan seluas-luasnya…

Namun, Allah Maha Pengasih dan Penyayang, dijentik hati kami dari penafian yang berpanjangan. Betapa kami menafikan hak Ammar untuk mendapat keperluan yang sepatutnya. Pada 2018, Ammar disahkan sebagai kanak-kanak Autistik oleh doktor di samping dengan ciri-ciri ADHD ringan. Di saat kami  menerima Ammar seadanya, ketika itulah Allah bukakan jalan seluas-luasnya. Kami tahu di usia 5 tahun, Ammar memerlukan intervensi khusus yang mampu membantunya berkembang. Kami berusaha mencari pusat-pusat intervensi untuk Ammar. Kami hadir ke pelbagai bengkel dan seminar tentang autism kerana kami sendiri begitu cetek ilmu tentang autism. Bagaimana kami akan mampu menguruskan anak autistik ini sekiranya kami sendiri tidak faham dan cakna tentangnya.

Cabaran membesarkan Ammar terlalu banyak dan ada kalanya kami tewas dengan air mata dan emosi. Ada masa kami tersungkur kerana terlalu memikirkan penerimaan orang sekeiling. Mata-mata yang memerhati dan mulut-mulut yang berbicara kadang kala terlalu pedih untuk kami terima. Pada saat redha itu tiba, semua itu tidak lagi menjadi isu yang terlalu besar, cukup sekadar cabaran kecil dalam mematangkan kami dalam menjadi mama dan abah untuk Ammar. Ammar mengajar kami erti sabar dalam kehidupan terutamanya dalam menguruskan rutin harian Ammar tambahan pula jauh kami berulang alik menghantarnya ke pusat intervensi.  Hanya doa moga Allah gagahkan kudrat kami saban hari dan pelihara jiwa dan mental kami seadanya.

Syukur kami apabila menemukan SOTC Play & Development

Walaupun Ammar sudah pun mencecah usia 9 tahun, masih tiada panggilan mama dan hanya abah hanya ‘once in a blue moon’. Kami ikhtiarkan segalanya untuk Ammar. Kini Ammar berada dalam SOTC Play & Development, sebuah pusat intervensi yang telah banyak membantunya dalam pelbagai aspek. Betapa bersyukurnya kami apabila menemukan SOTC Play & Development pada Jun 2021 setelah kami nekad untuk menukarkan pusat intervensi sebelumnya. Terlalu banyak perubahan positif pada Ammar sejak berada di sini. Butir-butir emas pun sudah mulai keluar daripada mulutnya, walaupun masih terhad tapi kami memilih untuk melihat setiap perkembangan dan kemajuan dari sudut positif. Komunikasi secara verbal meskipun terhad juga sudah dapat dilihat dan kami tahu Ammar gembira dengan kualiti hidup hariannya setiap hari yang semakin membaik.

Buat ibu ayah yang baru melangkah ke dunia anak istimewa ini, sematkan dalam hati bahawa anda insan hebat yang dipilih Allah dalam menjaga amanahnya. Teruskan berusaha untuk mereka. Sentiasa berada dalam ‘support system’ yang positif dan membina. Raikan sekecil-kecil pencapaian, bina ikatan kasih sayang bersama anak kita dan teruskan menjadi tulang belakang untuk dirinya. Jika kita memilih untuk melihat anak ini sebagai anugerah, maka kebahagiaan dan barakah sentiasa mengiringi perjalanan hidup kita bersama mereka. Teruskan mencipta kenangan bersama mereka dan jangan pernah berputus asa.


 

Ditulis oleh :
Puan Amira Binti Ahmad
Jun 2022