Sinar Bintang Anak-anak Istimewa

Anak-anak merupakan anugerah terindah bagi setiap pasangan ibu bapa dan keluarga. Perumpamaan “anak seperti kain putih, kita yang mencorakkannya” yang bermaksud ibu bapa atau keluarga mempunyai tanggungjawab dan harus memainkan peranan dalam membesarkan anak termasuklah perihal kesihatan, pendidikan, pergaulan, jati diri dan lain-lain. Walaubagaimanapun peranan ini seharusnya didukung oleh seluruh masyarakat dan bukan pada keluarga sahaja.

Kita seringkali didedahkan mengenai anak-anak yang tidak mendapat ruang dan peluang secukupnya yang datang daripada pelbagai faktor seperti masalah kewangan dan masalah birokrasi. Lebih menyedihkan apabila melihat anak-anak istimewa yang mempunyai ketidakupayaan serta memerlukan sokongan berterusan seperti tiada pembelaan atau sokongan yang sepatutnya dari pihak berwajib atau masyarakat. Isu ini kelihatan seperti gelombang ombak yang pasang surut dan akhirnya menjadi isu terpencil.

Perkara ini telah menarik perhatian sekumpulan Terapis dan Aktivis yang telah memulakan program sejak tahun 2020, mencari dan mendekati keluarga yang mempunyai anak istimewa yang masih tiada bantuan berkala konsisten atau keluarga yang tiada pengetahuan bagi merujuk pada pihak yang berkenaan.

Persatuan Kebajikan Bintang Istimewa Negeri Sembilan (PEKEBINS) merupakan sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang didaftarkan secara rasmi pada 14 Februari 2022 dengan nombor pendaftaran PPM-015-05-14022022. Alamat berdaftar dan tempat urusan pertubuhan bertempat di No 17, 17-1, 18, Jalan Dataran Kemuning 3, Dataran Kemuning, 70450 Seremban, Negeri Sembilan. “Bintang Istimewa” seperti yang tertulis dalam nama pertubuhan ditakrifkan sebagai insan atau anak-anak syurga yang mempunyai ketidakupayaan serta memerlukan sokongan berterusan untuk ke arah kefungsian yang optimum. PEKEBINS komited untuk membantu anak-anak istimewa, OKU dewasa dan golongan asnaf tanpa mengira bangsa dan agama yang meliputi seluruh Negeri Sembilan khususnya dan negara.

Tiga matlamat utama PEKEBINS adalah:
  1. Mengangkat isu kesedaran dan penerimaan masyarakat terhadap golongan OKU dan kanak-kanak istimewa
  2. Menawarkan khidmat terapi dan pendidikan yang profesional
  3. Memastikan semua golongan keluarga yang mempunyai kanak-kanak istimewa mendapat perhatian dan sokongan yang sewajarnya

Sehingga tarikh artikel ini ditulis, PEKEBINS telah mengadakan pelbagai program seperti khidmat terapi percuma dari rumah ke rumah buat keluarga asnaf dan tidak berkemampuan, khidmat terapi dan konsultansi percuma di Bilik Sensori McDonald’s Tampin, usahasama dengan NGO dan Jabatan Kerajaan dalam program lawatan sambil belajar bersama-sama kanak-kanak istimewa dari SOTC Play & Development, program menonton wayang bersama kanak-kanak istimewa dan ibu bapa serta beberapa program lain yang telah dan bakal diadakan.

Jaringan hubungan antara PEKEBINS bersama NGO, NGI serta Jabatan Kerajaan dan masyarakat amat penting bagi menyokong serta merencana program yang lebih efisien dan berterusan.

 

ISTIMEWA – KHIDMAT – IKHLAS


 

Ditulis oleh,
Mohd Hafiz Bin Ibrahim
Pegawai Perhubungan Awam, PEKEBINS
Julai 2022

 

Download as PDF

Click to download this article in PDF format.